KUCHING, 6 Ogos 2026 – Integriti perlu menjadi asas dalam setiap pembangunan bagi memastikan projek yang dilaksanakan bukan sahaja berkualiti dan cekap, malah telus, bertanggungjawab serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak (IECONS) 2026 di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, hari ini.
Integriti bukan sekadar nilai moral, sebaliknya merupakan aset ekonomi yang mampu membina kepercayaan, menarik pelaburan, memperkukuh keyakinan industri dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, ujar beliau.
Menurut beliau, industri pembinaan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik melibatkan infrastruktur, tenaga, pengangkutan moden, ekonomi digital, pembangunan bandar dan keterhubungan antara wilayah selaras dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, semakin besar dan kompleks sesuatu projek, semakin besar tanggungjawab semua pihak untuk memastikan setiap proses dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti.
Integriti dalam industri pembinaan bukan sahaja dapat mengelakkan ketirisan, malah menjamin kualiti, keselamatan, kecekapan dan nilai terbaik kepada rakyat.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Sarawak akan terus memperkukuh tadbir urus melalui proses yang lebih telus, pendigitalan perolehan, pengukuhan sistem audit, pengurusan risiko serta penggunaan teknologi.
Pada masa sama, industri pembinaan perlu terus beradaptasi dengan perkembangan teknologi melalui penggunaan Building Information Modelling (BIM), automasi, analitik data dan sistem pengurusan projek bersepadu bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan risiko.
Beliau berkata, usaha memperkukuh integriti merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan kontraktor, perunding, pembekal, pegawai teknikal, agensi pelaksana dan semua pihak dalam rantaian pembangunan.
Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk terus membina industri pembinaan Sarawak yang cemerlang, inovatif dan berintegriti demi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan hari ini memberi manfaat berkekalan kepada generasi akan datang.